07/11/2017

Pemergiannya Masih Dirasai

Hari ni 7.11.17, genap 9 bulan arwah opah pergi menghadap sang pencipta nya. Pergi yang tak akan kembali. Tapi, aku masih merasai adanya dia. Tak pernah rasa yang dia memang dah tak ada. Bukan menidakkan takdir tapi terlalu sayang sehingga terasa amat payah untuk melupakan setiap kenangan bersama.

Alhamdulillah, bersyukur kerana dia pergi dengan ada nya semua orang-orang yang di sayangi di sekelilingnya. Semasa sakitnya, sempat juga aku menjaga nya. Opah memang tak sakit. Sihat. Kuat. Sentiasa menjadi tempat bercerita, mengadu domba, dan bergurau senda. Terbayang segala senyuman dan riak gembiranya. Seringkali terbayang tawa riangnya. Allahuakhbar, tiap kali mengingati tentang dia, rindu yang teramat-amat rindu.

Rentetan kisah semasa hidupnya,

Kesihatan nya semakin merudum selepas bulan puasa tahun lepas, 2016. Seringkali mengadu boleh ke tak puasa penuh tahun ni. Rasa letih sangat. Selalu cakap dengan dia, tak apa. Opah kalau rasa tak larat sangat, tak payah la puasa. Allah tu tau dan paham. Bukan sengaja kita tinggalkan. Makin lama makin lemah kekuatannya. Sehingga nak bangun pun perlukan bantuan orang lain. Tapi masih lagi lalu berjalan. Tiap kali balik ke kampung, air mata tak pernah berhenti mengalir. Sebab tau dia sakit. Doa sentiasa supaya cepat sihat.

Makin hari badannya makin lemah. Tak lalu makan. Ayah mula beli kan susu untuk bangkitkan tenaganya. Pulihkan kembali selera makan. Di ajak ke hospital, biasalah orang tua. Langsung tak nak dengan jawapan kalau nak mati biarlah di rumah. Allah! Hanya dia yang tahu bagaimana luluhnya hati kami. Mak, ayah tak pernah putus asa. Di ajak ke klinik, doktor sahkan dia sihat. Cuma gastrik katanya. Apa saja cara perubatan yang orang sebut, semua kami cuba baik perubatan moden mahupun tradisional. Semua kami cuba.

Sehingga masuk awal tahun, makin teruk kesihatannya. Penat. Nampak seperti susah untuk bernafas. Masih tak menunjukkan kesan positif. Sampai satu hari tu, memang dia penat teruk. Memang terpaksa bawak ke klinik kerajaan, dari situ transfer ke hospital. Dan ditahan di wad. Mak lah yang sentiasa bersama menjaga kerana yang lain bekerja. Tiap-tiap petang tak jemu aku datang melawat lepas habis waktu kerja. Dua hari dia di situ, nampak perubahannya. Dah mula bercakap, buat lawak. Berselera makannya. Tapi hati tetap berkata, orang kata kalau dah sampai masanya memang nampak sihat dan ceria. Tapi perasaan tu aku buang jauh-jauh. Biasalah hati kadang-kadang di pengaruhi oleh hasutan syaitan. Apa-apa pun seronok bila tengok dia sihat, boleh berborak, senyum dan bergurau senda.

Tapi, tak sampai beberapa jam dia keluar hospital, tengah malam. Masih ingat ayah call aku. Katanya penat opah teruk. Hampir sebak. Tapi saja kuatkan hati, cakap dengan ayah kalau teruk sangat call ambulans. Pagi Isnin, rutin harian tiap kali sampai ofis, pasti whatsapp tanya ayah keadaan opah macam mana. Masih sama. Masih penat. Cuma pesan jika apa-apa berlaku, cepat-cepat call ambulans.

Petang balik dari keje, terdetik hati nak balik kampung. Jenguk opah sekejap pun tak pe. Kebetulan hari tu husband balik keje awal. Siap kata kalau penat tak apa, duduk sebelah I drive. Tak jauh pun. 30 minit je. Sampai je trus jenguk opah. Masih boleh berinteraksi. Tapi tak boleh cakap banyak kata nya, penat. Dia mintak tolong tukarkan lampin. Aku boleh je. Sambil tukar tu lah, mata nya hanya memandang satu tempat. Panik. Air mata jangan cakap lah. Bertegas suruh ayah call ambulans. Bawak ke hospital. Sampai di hospital, doktor pandang aku. Hati time tu memang rasa lain. Doktor panggil aku disebabkan hanya aku saja yang berada di situ. Yang lain masih dalam perjalanan.

" Jantung opah dah lemah sangat. Buah pinggang opah dah rosak. Paru-paru opah pun dah rosak. "

Aku yang mendengar, speechless. Sebak. Atas nasihat doktor, terus call adik beradik ayah, bagitau opah dah nazak. Opah dah mula lemah. Pindah masuk kan ke wad supaya mudah untuk sesiapa datang melawat. Sampai pukul 2 pagi aku di situ. Berat hati nak pergi keje esok, tapi dipujuk ayah. Pegi lah keje, esok opah sedar la. Opah tengah rehat tu. Aku balik rehat kan diri. Subuh bangun siap-siap pegi keje, cadangnye lepas waktu keje nak datang jenguk. Tapi baru berapa minit sampai ofis, maksu call kata opah dah nazak. Bergegas isi borang cuti. Sambil isi borang cuti tu, lagi sekali call masuk mengatakan opah dah pergi. Aku dah tak pikir apa dah. Surat cuti lulus, bergegas lari ke kereta. Terus ke hospital. Memang sampai-sampai opah dah pun pergi. Hanya sempat melihat jenazah. Pucat mukanya. Sejuk kaki tangannya. Kuatkan hati. Bantu untuk memandikan jenazah opah.

Siap segalanya. Aku naik van jenazah ke kubur. Jenazah opah selamat disemadikan sebelum zohor.


Al Fatihah. Hanya doa yang sentiasa mengiringi pemergianmu.
Suatu hari, aku juga akan menjejaki mu. Tenanglah opah disana. 
Sampai satu masa kita bertemu di alam lain. InsyaaAllah.
Opah sentiasa dalam ingatan.